Warkah Teristimewa Buat Saudariku

( Adaptasi daripada Novel Tautan Hati karya Fatimah Syarha )

Saudari,
  
     Sesungguhnya kejadianmu telalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya diciptakan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya. Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang mana harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Adakah semudah itu kau ingin menyerah diri pada sang kumbang?

     Renunglah pada keindahan bunga mawar yang unggul terjaga berpagarkan duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian. Kilauan warnanya yang memancar indah menjadi tarikan. Namun, lantaran pagaran duri yang berbisa itu, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Saudari,

     Akuilah hakikat kejadian dirimu yang menjadi pelemah keimanan lelaki. Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sebarangan, jadilah dirimu hanya sekuntum bunga yang indah tapi sayang tidak berduri.Kau tidak layak dimahkotakan sebagai si mawar berduri. Sesungguhnya Utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu.

                     "Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita." Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka?

     Ingatlah duhai saudariku sayang,
     Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan yang diizinkan. Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu.

     Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernaungkan keredaan Allah, bertunjangkan ilmu dan kebenaran, bersulam akhlak penuh menawan. Sesungguhnya, wanita solehah menjadi idaman setiap insan soleh bernama Adam.

"Wanita yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik......"

*****************************************************************************************************************************************************************
Semoga warkah yang ana petik ini mampu membantu kalian di luar sana. Ana juga dalam proses membaiki diri. Kita sama-sama berusaha dan berkongsi. Maafkan jika ana melakukan silap di mana-mana. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah, dan yang kurang itu datang daripada ana sendiri. Assalamualaikum.

2 comments:

  1. :) Syukran sudi berkongsi. InsyaAllah, sama2 kita berubah. Jzkk

    ReplyDelete
  2. Bittaufiq wannajah :-) Inn shaa Allah ;)

    ReplyDelete